Saturday, September 6, 2008

Sembelit di kalangan bayi

Sembelit ialah keadaan apabila bayi anda bermasalah atau sakit ketika membuang air besar. Najis biasanya keras. Ia juga boleh didefinisikan sebagai sembelit sekiranya bayi anda tidak membuang air besar lebih daripada empat hari.

Apa yang membimbangkan ialah bayi anda mungkin takut untuk membuang air besar selepas itu dan sengaja menahan najis kerana takut melalui situasi yang menyakitkan seperti sebelumnya. Ini mungkin menyukarkan anda dan menambahkan lagi masalah sembelit anak anda.

Sekiranya bayi anda mengalami sembelit, apa yang anda perlu lakukan?

1-Mandikan bayi anda
Apabila anda mandikan bayi anda, bayi akan berasa lebih tenang dan ini membantunya untuk
membuang air besar dan najis mungkin lebih mudah dilkeluarkan. Anda boleh mengurut perut
bayi anda (seperti diterangkan selepas ini). Ketika mencuci bahagian bawah, anda boleh
menyapu sedikit petroleum jelly di luar bahagian anus.

2-Mengurut perut bayi
Proses urutan perlu dilakukan dengan lembut. Urutan dimulakan di bahagian pusat dan secara
perlahan bergerak ke arah luar dalam bulatan mengikut arah jam. Anda boleh menggunakan
krim atau minyak bayi (baby's oil) untuk tujuan ini. Sekiranya bayi anda gembira anda boleh
teruskan proses ini.

3-Cuba berikan bayi anda lebih air untuk melembutkan najisnya.

4-Jangan sesekali menggunakan jari atau alat lain ke dalam anus bagi merangsang pengeluaran
najis. Ini ditakuti mencederakan bayi anda.

5-Bagi bayi enam bulan ke atas yang sudah memulakan diet selain susu, anda boleh lebihkan
makanan dengan kandungan serat yang tinggi seperti sayur. Ada juga ibu yang memberikan
bayi mereka jus prune bagi membantu mengurangkan sembelit.

6-Anda boleh berjumpa dengan profesional kesihatan anda dan berbincang tentang susu formula
yang sedang diambil dan keperluan anda untuk bertukar kepada susu formula yang lain.
Kini terdapat beberapa susu infant formula yang dirumus khas bagi bayi yang mempunyai
masalah sembelit.


Bagaimana untuk mengelakkan sembelit?

1-Pastikan anda mengikut arahan pada label susu formula yang anda berikan kepada anak anda.
Kemungkinan susu yang dibancuh pekat menyebabkan berlakunya sembelit.

2-Sekiranya bayi anda sudah memulakan diet selain susu, sila pastikan pengambilan serat dan air yang cukup.




Warna najis bayi

Warna najis pertama anak anda pada kebiasaannya berwarna hijau kehitaman dan melekit. Selepas itu apabila bayi anda mula menyusu, warna najis akan berubah-ubah mengikut dietnya. Biasanya bayi yang menyusu ibu mempunyai najis yang lebih cerah warnanya dan sedikit cair jika dibandingkan dengan bayi yang menyusu botol (infant formula). Warna najis mungkin akan berubah di antara warna hijau,kuning dan jingga. Ini kerana mungkin saluran penghadaman anak anda dalam proses pematangan atau mungkin kerana penambahan atau perubahan *bakteria di dalam ususnya.

Apabila anda mula menambah makanan lain selain susu dalam diet anak anda, anda akan lihat perubahan dalam warna najisnya bergantung kepada diet yang diberikan. Walaubagaimapun ada beberapa keadaan yang anda perlu berikan perhatian. Ini mungkin menunjukkan bayi anda mempunyai masalah dan sekiranya ia berlaku, sila bawa bayi anda berjumpa denga profesional kesihatan anda.

1)Najis berwarna hitam dan melekit seperti tar yang baru diturap - kemungkinan berlaku pendarahan di bahagian penghadaman.
2)Najis bersama darah merah - kemungkinan ada luka atau pendarahan berhampiran kawasan anus (tempat keluar najis) anak anda. Ia juga mungkin disebabkan alahan kepada susu lembu infant formula yang diberikan. Sekiranya anak anda turut mengalami cirit birit / ruam / muntah sila beritahu profesional kesihatan anda tentang perkara ini. Mungkin anak anda alah terhadap susu lembu.
3)Najis berwarna putih-kemungkinan bayi anda tidak mempunyai hempedu yang biasanya dihasilkan oleh hati bagi menghadamkan makanan.

Selamat datang!!

Selamat datang ni sebenarnya lebih ditujukan untuk diri sendiri. Sebenarnya dah lama aku nak memulakan blog berkaitan dengan ibu dan bayi cuma masa, situasi dan keadaan yang tidak mengizinkan. Boleh dikatakan isu yang berkaitan dengan kesihatan dan penjagaan ibu dan bayi sebelum mengandung sehinggalah bayi ini membesar bukan sahaja merupakan satu skop yang besar tetapi juga bukan sesuatu perjalanan yang mudah.

Aku ingin berkongsi sedikit kisah sedih. Takziah ditujukan kepada keluarga seorang sahabat berbangsa cina yang kakaknya baru kematian anak ketiganya. Bayi itu tidak cukup bulan (lahir pada ketujuh bulan kandungan) dan mati kerana menurut doktor jantungnya terlalu lemah.

Takziah kepada keluarga terbabit. Di harapkan mereka bersabar dengan dugaan yang menimpa.
 

Bayi dan Ibu | Desenvolvido por EMPORIUM DIGITAL