Thursday, October 30, 2008

Bayi dan ruam lampin

Bayi dan ruam lampin memang tidak dapat dipisahkan sebab itu begitu banyak lambakan produk di pasaran yang boleh anda pilih untuk mengelakkan atau mengatasinya. Biasanya ruam lampin kelihatan sedikit merah di bahagian yang menyentuh kulit anak anda. Sekiranya dibiarkan atau tidak dirawat dengan baik ia mungkin akan menjadi lebih teruk di mana anda boleh lihat kulit bayi akan kelihatan merah, berbiji air, melecet dan mungkin sedikit bengkak. Ia kemudiannya bukan terhad di bahagian lampin sebaliknya mungkin merebak ke kawasan luar sedikit dari lampin.

Ia disebabkan bayi anda mungkin memakai lampin yang terlalu ketat, dibiarkan dalam lampin yang kotor terlalu lama, jenis sabun yang anda gunakan untuk membasuh lampin (sekiranya anda tidak gunakan lampin pakai buang) ataupun disebabkan jenis lampin yang digunakan (material yang digunakan pada lampin pakai buang) atau tisu basah yang digunakan.

Bagaimana untuk merawatnya?
1-Elakkan dari puncanya.
2-Gunakan salap (ointment) atau krim bagi lampin yang boleh digunakan banyak kali dan sapulah pada bayi anda. Sediaan yang mengandungi petroleum jelly atau zinc oksida biasanya boleh memberikan perlindungan pada bayi anda selain tidak menyebabkan masalah pada kulit bayi anda.
3-Biasanya di antara waktu bertukar lampin anda mungkin boleh membiarkan seketika bayi anda tidak memakai lampin sebentar bagi menggalakkan pengudaraan.
4-Penggunaan powder juga tidak begitu digalakkan.
5-Selepas bayi mandi elakkan dari menggosok dengan kasar di bahagian lampin.
6-Sekiranya anda menggunakan kain lampin, selepas membasuh lampin anda boleh merendamnya di dalam air panas selama 15 minit. Ini bagi membunuh bakteria dan membuangkan kesan sabun yang mungkin penyebab kepada ruam.

Penggunaan ubat seperti hydrocortisone cream perlu mengikut arahan doktor. Ada beberapa produk di dalam pasaran yang bagus melalui pemerhatian saya yang bukan ubat.




Bayi pramatang - perlukah infant formula?

Adakah susu ibu sahaja mencukupi untuk bayi pramatang? Ini persoalan yang bermain di kepala saya. Kebanyakan bayi yang lahir tidak cukup bulan mempunyai berat badan di bawah 2 kg. Bayi pramatang juga lahir mungkin dengan organ yang masih belum cukup matang seperti bayi cukup bulan yang lain. Selain itu keperluan nutriennya juga berbeza. Jadi saya tertanya-tanya adakah cukup susu ibu sahaja untuk menyokong pertumbuhan badan, otak dan organnya?

Bagi bayi yang lahir cukup bulan, penyusuan ibu memang sudah mencukupi sebab tiada susu yang lebih baik berbanding susu ibu. Sebab itu ibu-ibu digalakkan untuk menyusukan bayi sendiri. Cuma kali ini saya cuba mencari jawapan berkaitan bayi pra matang.

Sekiranya bayi anda dilahirkan pra-matang, anda boleh berbincang dengan profesional perubatan anda. Cuba bincangkan tentang susu ibu dan keperluan susu infant formula. Bertanyalah pengalaman mereka yang terdahulu.

Antara sebab mengapa anda diminta menggunakan susu infant formula ialah kerana bayi anda mungkin terlalu lemah untuk menghisap. Jadi anda mungkin boleh bertanya dan berbincang sama ada anda boleh menyusukan bayi anda menggunakan tiub dan sebagainya. Anda juga boleh berbincang sama ada anda boleh menyusukan bayi dengan susu anda dan infant formula atau tidak? Ini adalah penting untuk anda tahu kerana ini hak anak anda untuk dapatkan yang terbaik.

Saya akan kembali lagi untuk penjelasan yang lebih lanjut. Saya akan cuba mencari maklumat sebaik mungkin kerana saya rasa ini merupakan isu yang menarik.

Jumpa lagi!!




Puting Ibu Luka? Sore Nipples?

Menyusukan bayi kadangkala boleh menyebabkan luka pada puting (sore nipples). Ini disebabkan oleh beberapa perkara seperti cara bayi menghisap susu dan posisi bayi sepanjang proses penyusuan. Iabiasanya berlaku pada mingu-minggu terawal penyusuan.

Jadi apa yang anda boleh lakukan bagi mengelakkan keadaan ini:
1-Letakkan bayi anda tinggi separas dengan puting susu anda.
2-Pusingkan bayi ke arah anda supaya bahagian perut bayi anda bertemu dengan bahagian perut anda.
3-Pastikan kebanyakan bahagian areola masuk di dalam mulut bayi anda.
4-Ubah gaya penyusuan bagi setiap sesi menggunakan prinsip yang sama.

Bagaimana sekiranya anda sedang mengalami puting yang luka?
1-Susukan bayi anda dengan lebih kerap seperti setiap 2 jam sekali. Elakkan dari bayi terlalu lapar. Ini mungkin menyebabkan dia akan menyusu lebih cepat dan agresif. Ini boleh melukakan puting susu.
2-Mulakan susuan di bahagian yang kurang luka kerana pada permulaan setiap penyusuan bayi mungkin lapar dan menyusu dengan lebih agresif.
3-Kain yang lembap dan sedikit panas juga boleh mengurangkan sakit sama ada digunakan selepas atau sebelum penyusuan
4-Gantikan nursing pad yang anda gunakan sekiranya ia sudah menjadi sedikit lembap. Kelembapan boleh melambatkan proses penyembuhan luka. Sebaiknya gunakan nursing pad dari kain cotton.
5-Satu lagi cara ialah anda boleh keluarkan sedikit susu anda selepas menyusukan bayi anda dan sapukan pada bahagian puting anda. Susu ibu mengandungi sedikit vitamin E yang boleh membantu proses penyembuhan. Tetapi perlu diingatkan di sini vitamin E yang dikatakan ini memang semulajadi dio dalam susu dan bukan vitamin E yang dibeli dari pasaran. Menyapu vitamin E di pasaran pada puting boleh toksik kepada bayi.
6-Beberapa sediaan seperti cocoa butter untuk ibu yang menyusukan bayi juga ada di pasaran. Ketika membeli sediaan terbabit di pasaran pastikan anda bertanya terutama bagi memastikan ia selamat untuk anda dan bayi anda.




Friday, October 10, 2008

Puting yang sesuai untuk bayi anda

Bagaimana anda nak pilih puting susu untuk anak anda?
Ada beberapa faktor dan keadaan yang perlu dipertimbangkan.

Ibu yang menyusukan bayi dan juga pada masa yang sama memberi susu botol.
Dalam keadaan ini anda dicadangkan memilih puting botol yang hampir sama dengan puting susu ibu. Ini dikatakan dapat mengelakkan kekeliruan oleh bayi. Penyusuan melalui puting ibu dan puting botol adalah berbeza. Dalam penyusuan ibu, bayi memasukkan sebanyak mungkin puting ke dalam mulut dan mengepam susu ke dalam mulutnya. Bayi akan meletakkan lidah di bawah puting bagi mewujudkan keadaan vakum bagi mengepam dan menghisap susu ibu dan apabila bayi berhenti aliran susu juga akan berhenti. Jadi bayi ada lebih kawalan terhadap susu yang sedang diminumnya. Ini berbeza dengan penyusuan botol, bayi menggunakan bibirnya untuk 'memegang' puting. Disebabkan ia tidak berhenti apabila bayi berhenti menghisap dan bersedia menelan susu, lidah bayi biasanya akan berada dihadapan puting bagi memberhentikan aliran susu ketika bayi menelan susu.

Kebiasaannya puting yang dicadangkan untuk digunakan ialah yang hampir sama dengan puting ibu jadi ini dapat mengurangkan kekeliruan bayi.
1. Puting dengan leher lebar (wide neck) yang mengikut seperti puting ibu
2.Puting yang pendek sekiranya puting ibu pendek. Kebanyakan wanita sebenarnya mempunyai
puting yang pendek.
3.Puting dari silikon (latex/getah kemungkinan menyebabkan alahan)
4.Puting dengan lubang kecil (slow rate)
5.Puting bulat. Elakkan membeli puting orthodontic yang sedikit rata dihujungnya sekiranya
anda menyusukan bayi dan memberinya botol. Ini mungkin menyebabkan bayi keliru dan
menyebabkan cara penyusuannya membuatkan luka pada puting anda.

Ibu yang memberikan anak dengan susu infant formula
Tidak banyak masalah bagi bayi yang menyusu dengan infant formula sahaja.
1-Puting dari silikon adalah lebih baik adri latex/getah bagi mengelakkan alahan. Ia juga tidak ada bau atau rasa yang terlekat walaupun digunakan banyak kali.
2-Aliran puting sama ada laju,sederhana atau perlahan bergantung pada bayi anda. Kebiasaaannya bayi baru lahir memerlukan aliran lebih perlahan bagi mengelakkan angin masuk bersama-sama atau tersedak.
3-Terdapat puting panjang dan pendek. Biasanya puting yang pendek adalah untuk bayi yang baru lahir bagi mengelakkan dari menghalang pernafasan.

Kini terdapat pelbagai jenis puting di pasaran. Anda juga boleh memilih puting anti-drip yang tidak boleh menghalang susu mengalir keluar botol. Juga terdapat puting ortodontik yang sedikit rata dihadapannya, dikatakan bagus untuk aturan gigi anak anda.

Tentang sembelit dan "toilet training"

Ada anak yang mudah diajar untuk buang air besar dan kecil tetapi ada juga yang sangat susah dan tidak memberikan kerjasama. Mungkin ini memeningkan kepala anda. Ini merupakan satu proses yang kadangkala rumit dan kompleks.

Boleh dikatakan "toilet training" ialah proses anda mengajar anak anda mengenalpasti waktu terasa ingin buang air dan menahannya sehingga sampai ke tandas. Kebiasaannya anda akan mengajar mereka untuk memberitahu anda apabila mereka terasa ingin kencing. Bersabar sekiranya ada masanya mereka terlupa memberitahu anda atau terbuang air di dalam seluar. Terangkan kepada mereka sebaiknya.

Setiap kali anak anda berjaya melakukannya, pujilah dia. Jadikan ia sesuatu pengalaman yang menarik. Sekiranya anak anda berasa tertekan ia mungkin menyukarkan lagi proses pengajaran.
Saya ada berjumpa dengan kanak-kanak yang masih tidak tahu buang air besar dengan betul. Setiap kali perlu buang air besar, anak ini akan berdiri dan menahannya. Akhirnya ibu bapanya terpaksa memberikan enema. Ini adalah sesuatu amalan yang tidak bagus. Sekiranya anak anda tidak boleh buang air besar atau "toilet training" tidak berjaya, anda perlu mencari dan merawat puncanya. Cara seperti tadi adalah jalan mudah yang akhirnya menyusahkan anda dan anak anda.

Selepas ditanya, sebenarnya punca utama ialah sembelit. Apabila sembelit dan najisnya keras, anak ini takut untuk buang air besar. Jadi selepas dicadangkan agar melebihkan makanan berserat dan mengurangkan makanan seperti daging, anak ini boleh buang air besar seperti biasa dan mudah diajar untuk ke tandas.

OK... selamat berjaya!!




 

Bayi dan Ibu | Desenvolvido por EMPORIUM DIGITAL