Sunday, September 29, 2013

Ouch..stretch mark lah

Stretch mark agak mengganggu, bukankah begitu?
Jangan hilang keyakinan diri. Ini adalah tanda anda wanita istimewa yang diberi peluang oleh Tuhan untuk mengalami nikmatnya hamil dan melahirkan zuriat anda.

Namun ada cara untuk mengelakkannya dan mengurangkannya.

Stretch mark itu berlaku disebabkan kulit anda meregang dan juga perubahan hormon di dalam badan wanita hamil. Ia juga bergantung kepada keadaan kulit anda dan perubahan berat badan anda. Warnanya daripada merah jambu sehingga warna coklat gelap.
Ia biasanya muncul di bahagian abdomen, paha, buah dada dan punggung. Dikatakan juga sekiranya ibu dan adik beradik anda mempunyai stretch mark, ada kemungkinan anda akan mengalaminya.

Jadi nasihat saya sebaiknya ialah anda cuba elakkan daripada berlakunya stretch mark kerana melalui pengetahuan dan pengalaman mereka yang hamil, kebiasaannya sekiranya stretch mark telah ada sukar untuk menghilangkannya. Hanya warnanya sahaja yang dapat dipudarkan.

Selalunya saya akan sarankan para ibu yang kali pertama mengandung untuk memulakan pencegahan sebelum strech mark muncul. Terdapat banyak krim dan lotion stretch mark di pasaran. Jangan malas kerana menyesal kemudian tidak berguna ya!!
Rajin! Rajin! Rajin!
Itu kata kuncinya.
Anda perlu sapukannya 3 ~ 4 kali sehari. Ini bertujuan memberikan kelembapan pada kulit anda ketika ia meregang. Bayangkan sesuatu yang lembap diregang berbanding dengan sesuatu yang kering, tentunya yang kering akan berbekas. Bukankah begitu?
Rajin! Rajin! Rajin!
Produk yang mengandungi cocoa butter selalunya baik untuk mengelakkan stretch mark. Bio Oil juga bagus.

Ramai para ibu yang lambat mengambil tindakan dan sebaik melihat selepas beberapa bulan bersalin stretch mark masih tidak hilang, barulah mereka menyesal dan mula mencari cara menghilangkannya. Jika begini, anda juga perlu Rajin! Rajin! Rajin!
Sapu 3~ 4 kali sehari dan sapukan agak lama sedikit supaya ia betul-betul menyerap masuk ke dalam kulit.


Thursday, September 26, 2013

Packing untuk bersiap sedia bersalin

Bagi ibu-ibu berpengalaman ianya tidak menjadi masalah tetapi bagi yang pertama kali dan berjauhan pula dengan keluarga pastinya pengalaman pertama ini agak menakutkan.

Jangan risau.

Biasanya para ibu sudah mula menyiapkan barang asas untuk di bawa ke hospital apabila usia kandungan sudah memasuki bulan ke tujuh. Ini adalah langkah selamat kerana ada sesetengah orang melahirkan anak pada usia kandungan tujuh bulan. Bersedia awal tidak mengapa.

Apakah barang-barang yang mesti ada di dalam beg?

1-Dokumen penting anda seperti IC dan sebagainya. Jangan bawa dompet, mungkin cukuplah bawa beg kecil dengan duit sedikit sekiranya diperlukan.

2- Handphone.

3- Selimut untuk bayi anda

4- Dua pasang baju bayi anda

5- Stokin bayi anda

6- Sarung tangan bayi anda

7- Kain batik dan persalinan untuk anda

8-Tuala untuk anda

9-Lampin atau pampers bagi bayi baru lahir

10-Maternity pad untuk anda

Wednesday, September 25, 2013

Warna najis dan maksud disebaliknya

1. Warna najis bayi hijau gelap dan melekat seperti tar yang masak
Meconium ialah nama saintifik bagi najis pertama bayi anda. Ia bewarna hijau gelap dan melekit seperti tar jalan yang masih panas. Ia sepatutnya keluar dalam masa beberapa hari selepas bayi dilahirkan. Bayi tidak dibenarkan keluar daripada wad selagi mereka belum buang air besar yang pertama ini.
Hanya dalam situasi tertentu bayi mengeluarkan najis pertama mereka sebelum dilahirkan. Ini adalah bahaya kerana ditakuti bayi tertelan meconium yang larut dalam cecair amniotik.

2. Warna najis bayi kuning terang dan sedikit melekit
Najis yang bewarna kuning terang dan sedikit melekit ialah warna najis normal bagi bayi yang disusukan ibu tanpa susu formula.
Biasanya ia tidak berbau kuat dan kadangkala apabila bayi membuang air besar ia beserta dengan bunyi angin yang kuat.

3. Warna najis bayi pudar kecoklatan
Ini kerana anda sudah mula memberi susu formula. Selagi ia tidak terlalu keras, cair atau berketul-ketul bayi anda tidak ada masalah.

4. Warna najis bayi coklat kehijauan
Biasanya apabila bayi anda mula makan makanan selain susu, warna najisnya akan bertukar seperti ini. Ianya normal kecuali jika bayi anda mula sembelit, cirit birit atau simptom lain yang membuatkan bayi anda tidak selesa muncul.

5. Warna najis bayi kecoklatan, berair, tidak berketul-ketul
Bayi anda mengalami cirit birit. Bayi anda buang air besar lebih kerap dan mungkin disertakan bunyi angin yang kuat. Perhatikan pengambilan cecair bayi anda. Pastikan air yang hilang dari badan sentiasa digantikan. Jangan beri sendiri ubat anti cirit birit pada bayi anda tanpa nasihat profesional kesihatan anda.
Lebih kecil usia bayi anda risiko hidrasi adalah lebih tinggi. Dan jika keadaan ini berterusan melebihi dua hari, jangan melengah-lengahkan lagi dari berjumpa dengan profesional kesihatan anda.

6. Warna najis bayi gelap, keras dan kelihatan seperti tanah liat
Bayi anda mengalami sembelit. Ini mungkin berlaku ketika anda mula memperkenalkan makanan keras kepada bayi anda atau bayi kekurangan air akibat cuaca panas atau bayi anda kurang minum air atau bayi anda mungkin sakit.
Jika ada darah yang merah segar, maksudnya kemungkinan ada luka sekitar anus kerana najis terlalu keras.
Anda boleh tambahkan pengambilan airnya, mungkin memberinya jus prune, dan lebihkan pengambilan serat dalam pemakanannya.

7. Warna najis bayi hijau gelap tetapi tidak melekit
Kemungkinan susu formula bayi anda mengandungi kandungan zat besi yang agak tinggi kerana zat besi boleh menyebabkan najis bewarna seperti ini. Keadaan ini tidak perlu dibimbangi kecuali jikabayi anda menunjukkan ketidakselesaan.

8. Warna najis bayi hijau terang
Ini normal bagi bayi yang menyusu sepenuhnya susu ibu. Tetapi ini menunjukkan bayi menyusu sekejap sahaja bagi setiap belah susu ibu. Bayi hanya mendapat bahagian susu awal yang tidak pekat. Ini agak merugikan kerana kalau bayi menyusu lebih lama bagi setiap belah susu ibu, bayi akan mendapat susu yang lebih pekat dan lebih kaya dengan vitamin.
Cuba habiskan setiap belah sebelum bertukar ke sebelah lagi jika boleh.

9. Warna najis bayi hitam pekat dan melekat
Bayi anda mengalami melena atau pendarahan di dalam usus. Ia mungkin kelihatan seperti meconium tetapi warnanya hitam pekat. Sila bawa bayi anda untuk berjumpa dengan profesional kesihatan anda untuk tindakan lanjut.

10. Warna najis bayi putih dan kelihatan seperti kapur
Bayi anda mungkin mempunyai masalah dengan penghasilan asid hempedu (bile) yang berfungsi mewarnakan najis. Sila bawa bayi and berjumpa dengan profesional kesihatan bagi tindakan selanjutnya.

Monday, September 23, 2013

Green Tea : Bolehkah wanita mengandung minum green tea?



Ramai wanita mengamalkan green tea kerana kesan baiknya termasuklah dikatakan baik untuk mengelakkan dari tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan ada sesetengah berpendapat ia boleh mengawal berat badan.

Namun adakah amalan ini boleh diteruskan ketika mengandung?

Perkara pertama ialah tentang kebaikannya. Belum ada kajian yang konklusif tentang kebaikan green tea. Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan kemungkinan kesan baik ini namun ia belum konklusif. 

Kedua, terdapat pendapat yang mengatakan green tea boleh mengurangkan paras asid folik di dalam badan. Asid folik adalah sangat penting terutama untuk wanita yang merancang untuk mengandung dan tiga bulan pertama bagi wanita mengandung. Asid folik diperlukan bagi tiga bulan pertama bagi mengelakkan spina bifida kepada bayi.

Ketiga, sepertimana teh dan kopi yang lain masih terdapat kandungan kafein di dalam green tea yang boleh mengurangkan penyerapan zat besi. Seperti yang kita sedia maklum sesetengah wanita akan mengalami tekanan darah rendah dan anemia ketika mengandung. Bagi wanita ini adalah dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan semua jenis kopi dan teh sepanjang waktu mengandung.
Ia juga merupakan kajian yang kecil dan kajian yang lebih besar dan lebih baik diperlukan untuk mengetahui kebenarannya.

Maka jika ibu masih ingin terus mengambil green tea sebagai minuman harian, dicadangkan untuk mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit. Dicadangkan ialah satu hingga dua cawan sehari adalah memadai. Sekurang-kurangnya green tea lebih baik daripada jenis kopi dan teh yang lain kerana kandungan kafeinnya yang rendah.

Saturday, September 21, 2013

Sedu atau hiccups : adakah sesuatu petanda baik atau sebaliknya?



Pernah dengar kata orang tua-tua bahawa sedu atau hiccups menandakan tanda seseorang itu membesar?
Sejauh mana kebenarannya dan sejauh mana kaitannya dengan kesihatan bayi anda?

Menurut Mayo Clinic.com, sedu merupakan pengecutan involuntari oleh difragma (otot yang memisahkan ruang abdomen dan dada). Diafragma memainkan peranan yang penting dalam proses pernafasan. Setiap pengecutan diikuti oleh penutupan secara tiba-tiba bahagian kord vokal yang menghasilkan bunyi  seperti 'hik'. 

Oleh itu, sedu berlaku sebenarnya disebabkan rangsangan terhadap otot tersebut atau pun iritasi. Ia boleh berlaku kepada bayi anda disebabkan banyak perkara antaranya seperti :
a) makanan ( susu, makanan lembut)
b) suhu yang turun secara tiba-tiba
c) kesukaan secara tiba-tiba atau mengejut (sudden excitement)
Sedu memang sering berlaku kepada bayi kurang dari setahun.

Bayi di dalam kandungan juga boleh mengalami sedu. 
Ianya tidak berbahaya tetapi tidak mengapa jika anda ingin suarakan kepada doktor anda ketika lawatan berjadual ke klinik obstretrik dan gynaecology.

Bagaimana pula caranya untuk menghilangkan sedu?
1-Minum air sedikit secara perlahan-lahan (untuk bayi yang sudah cukup besar dan sudah boleh berdiri dan duduk)
2-Sapu bahagian belakang bayi anda secara perlahan
3-Cuba alihkan perhatian mereka kepada benda lain seperti mainan
Kebiasaannya sedu akan hilang dalam beberapa saat hingga beberapa minit. Sekiranya ia melebihi itu sila bawa anak anda berjumpa dengan profesional kesihatan anda.

Jangan sesekali melakukan perkara berikut :
a) Memeranjatkan bayi anda
b) Menekan bahagian hadapan kepalanya
c) Menarik lidahnya keluar

Thursday, September 19, 2013

Bayi muntah



Bayi anda muntah mungkin sesuatu yang menyebabkan anda risau. Adakah ia membahayakan bayi anda? Adakah ianya memerlukan anda memulakan sebarang ubat untuk mengatasinya? Atau cukupkah dengan menyapu minyak atau bertukar cara pemakanan dan penyusuannya?


Apakah yang berlaku apabila makanan atau susu masuk ke dalam perut?

Susu atau makanan akan masuk ke dalam perut melalui esofagus. Di antara esofagus dan perut akan ada injap yang berfungsi menghalang makanan atau apa yang ditelan ke dalam perut daripada kembali memasuki ruang esofagus. Kemasukan kembali makanan atau susu ke dalam ruang esofagus dipanggil reflux.


Jadi mengapa bayi akan muntah?

Ada beberapa sebab mengapa injap gagal menghalang kemasukan kembali makanan/susu/objek yang ditelan ke dalam ruang esofagus.

Diantaranya ialah

a) Saiz perut bayi yang masih lagi kecil

b) Injap yang masih belum matang

Selain itu ada beberapa keadaan lain yang boleh menyumbang kepada situasi ini iaitu :

a) Bayi menangis terlalu lama

b) Bayi anda batuk-batuk

c) Alahan terhadap makanan. Sila catatkan pemakanan yang diambil anak anda dan bincangkan dengan doktor anda kemungkinan anak anda alah terhadap makanan. Jangan lakukan tanpa nasihat doktor memandangkan pada usia begini anak anda memerlukan vitamin dan mineral secukupnya untuk tumbesaran.


Apa yang boleh anda lakukan sendiri di rumah jika bayi anda muntah?

1) Hidrasi.

     Adalah sangat penting untuk anda pastikan tahap hidrasi bayi anda. Jika perlu gantikan air yang hilang selepas bayi anda muntah. Jika keadaannya agak membimbamgkan anda, anda boleh berikan garam rehidrasi (Oral rehydration salt) yang boleh didapati di farmasi. Saya cadangkan berikan mereka ORS dengan perisa original.

 Lihat pada tanda-tanda dehidrasi (kekurangan air ) pada bayi anda seperti

a) Mulut kering

b) Kekurangan air mata apabila bayi anda menangis

c) Kurang kencing daripada biasa (jika dibandingkan dengan pengambilan air). Bagi bayi kurang dari dua belas bulan, lampin tidak basah selepas tiga jam dan bagi kanak-kanak tidak kencing melebihi 8 jam.

d)  Letih dan kurang aktif daripada biasa. Bayi mungkin kelihatan cepat mengantuk dan tidur lebih dari biasa.

e) Sembelit

f) Kerap dahaga

Jika keadaan berlarutan atau simptom berlarutan atau bayi anda kelihatan sangat tidak selesa, sila dapatkan bantuan kesihatan di klinikberhampiran.

2) Pekatkan makanan bayi anda.

     Makanan yang cair lebih mudah keluar berbanding makanan yang pekat. Berikan bayi anda makanan yang lebih pekat sedikit.

3) Tegakkan bayi anda sekurang-kurangnya dalam 30 minit pertama selepas makan.

     Graviti boleh membantu menarik makanan bayi anda ke bawah dan mengelakkan regurgitasi.



Walaubagaimanapun, memang ada bayi yang sering meluahkan sendiri makanan selepas makan dan keadaan ini dianggap biasa. Jika mereka sihat, tidak mengalami penurunan berat badan disebabkan tabiat mereka ini, kenaikan badan seperti yang diingini, tumbesaran badan seperti yang diingini, tidak kelihatan tidak selesa dan tiada masalah pernafasan, maka anda tidak perlu risau.
 

Bayi dan Ibu | Desenvolvido por EMPORIUM DIGITAL