Thursday, September 19, 2013

Bayi muntah



Bayi anda muntah mungkin sesuatu yang menyebabkan anda risau. Adakah ia membahayakan bayi anda? Adakah ianya memerlukan anda memulakan sebarang ubat untuk mengatasinya? Atau cukupkah dengan menyapu minyak atau bertukar cara pemakanan dan penyusuannya?


Apakah yang berlaku apabila makanan atau susu masuk ke dalam perut?

Susu atau makanan akan masuk ke dalam perut melalui esofagus. Di antara esofagus dan perut akan ada injap yang berfungsi menghalang makanan atau apa yang ditelan ke dalam perut daripada kembali memasuki ruang esofagus. Kemasukan kembali makanan atau susu ke dalam ruang esofagus dipanggil reflux.


Jadi mengapa bayi akan muntah?

Ada beberapa sebab mengapa injap gagal menghalang kemasukan kembali makanan/susu/objek yang ditelan ke dalam ruang esofagus.

Diantaranya ialah

a) Saiz perut bayi yang masih lagi kecil

b) Injap yang masih belum matang

Selain itu ada beberapa keadaan lain yang boleh menyumbang kepada situasi ini iaitu :

a) Bayi menangis terlalu lama

b) Bayi anda batuk-batuk

c) Alahan terhadap makanan. Sila catatkan pemakanan yang diambil anak anda dan bincangkan dengan doktor anda kemungkinan anak anda alah terhadap makanan. Jangan lakukan tanpa nasihat doktor memandangkan pada usia begini anak anda memerlukan vitamin dan mineral secukupnya untuk tumbesaran.


Apa yang boleh anda lakukan sendiri di rumah jika bayi anda muntah?

1) Hidrasi.

     Adalah sangat penting untuk anda pastikan tahap hidrasi bayi anda. Jika perlu gantikan air yang hilang selepas bayi anda muntah. Jika keadaannya agak membimbamgkan anda, anda boleh berikan garam rehidrasi (Oral rehydration salt) yang boleh didapati di farmasi. Saya cadangkan berikan mereka ORS dengan perisa original.

 Lihat pada tanda-tanda dehidrasi (kekurangan air ) pada bayi anda seperti

a) Mulut kering

b) Kekurangan air mata apabila bayi anda menangis

c) Kurang kencing daripada biasa (jika dibandingkan dengan pengambilan air). Bagi bayi kurang dari dua belas bulan, lampin tidak basah selepas tiga jam dan bagi kanak-kanak tidak kencing melebihi 8 jam.

d)  Letih dan kurang aktif daripada biasa. Bayi mungkin kelihatan cepat mengantuk dan tidur lebih dari biasa.

e) Sembelit

f) Kerap dahaga

Jika keadaan berlarutan atau simptom berlarutan atau bayi anda kelihatan sangat tidak selesa, sila dapatkan bantuan kesihatan di klinikberhampiran.

2) Pekatkan makanan bayi anda.

     Makanan yang cair lebih mudah keluar berbanding makanan yang pekat. Berikan bayi anda makanan yang lebih pekat sedikit.

3) Tegakkan bayi anda sekurang-kurangnya dalam 30 minit pertama selepas makan.

     Graviti boleh membantu menarik makanan bayi anda ke bawah dan mengelakkan regurgitasi.



Walaubagaimanapun, memang ada bayi yang sering meluahkan sendiri makanan selepas makan dan keadaan ini dianggap biasa. Jika mereka sihat, tidak mengalami penurunan berat badan disebabkan tabiat mereka ini, kenaikan badan seperti yang diingini, tumbesaran badan seperti yang diingini, tidak kelihatan tidak selesa dan tiada masalah pernafasan, maka anda tidak perlu risau.
 

Bayi dan Ibu | Desenvolvido por EMPORIUM DIGITAL