Bayi anda muntah mungkin sesuatu yang menyebabkan anda
risau. Adakah ia membahayakan bayi anda? Adakah ianya memerlukan anda memulakan
sebarang ubat untuk mengatasinya? Atau cukupkah dengan menyapu minyak atau
bertukar cara pemakanan dan penyusuannya?
Apakah yang berlaku apabila makanan atau susu masuk ke
dalam perut?
Susu atau makanan akan masuk ke dalam perut melalui
esofagus. Di antara esofagus dan perut akan ada injap yang berfungsi menghalang
makanan atau apa yang ditelan ke dalam perut daripada kembali memasuki ruang
esofagus. Kemasukan kembali makanan atau susu ke dalam ruang esofagus dipanggil
reflux.
Jadi mengapa bayi akan muntah?
Ada beberapa sebab mengapa injap gagal menghalang
kemasukan kembali makanan/susu/objek yang ditelan ke dalam ruang esofagus.
Diantaranya ialah
a) Saiz perut bayi yang masih lagi kecil
b) Injap yang masih belum matang
Selain itu ada beberapa keadaan lain yang boleh
menyumbang kepada situasi ini iaitu :
a) Bayi menangis terlalu lama
b) Bayi anda batuk-batuk
c) Alahan terhadap makanan. Sila catatkan pemakanan yang
diambil anak anda dan bincangkan dengan doktor anda kemungkinan anak anda alah
terhadap makanan. Jangan lakukan tanpa nasihat doktor memandangkan pada usia
begini anak anda memerlukan vitamin dan mineral secukupnya untuk tumbesaran.
Apa yang boleh anda lakukan sendiri di rumah jika bayi
anda muntah?
1) Hidrasi.
Adalah sangat
penting untuk anda pastikan tahap hidrasi bayi anda. Jika perlu gantikan air
yang hilang selepas bayi anda muntah. Jika keadaannya agak membimbamgkan anda,
anda boleh berikan garam rehidrasi (Oral rehydration salt) yang boleh didapati
di farmasi. Saya cadangkan berikan mereka ORS dengan perisa original.
Lihat pada
tanda-tanda dehidrasi (kekurangan air ) pada bayi anda seperti
a) Mulut kering
b) Kekurangan air mata apabila bayi anda menangis
c) Kurang kencing daripada biasa (jika dibandingkan
dengan pengambilan air). Bagi bayi kurang dari dua belas bulan, lampin tidak
basah selepas tiga jam dan bagi kanak-kanak tidak kencing melebihi 8 jam.
d) Letih dan
kurang aktif daripada biasa. Bayi mungkin kelihatan cepat mengantuk dan tidur
lebih dari biasa.
e) Sembelit
f) Kerap dahaga
Jika keadaan berlarutan atau simptom berlarutan atau bayi
anda kelihatan sangat tidak selesa, sila dapatkan bantuan kesihatan di
klinikberhampiran.
2) Pekatkan makanan bayi anda.
Makanan yang
cair lebih mudah keluar berbanding makanan yang pekat. Berikan bayi anda
makanan yang lebih pekat sedikit.
3) Tegakkan bayi anda sekurang-kurangnya dalam 30 minit
pertama selepas makan.
Graviti boleh
membantu menarik makanan bayi anda ke bawah dan mengelakkan regurgitasi.
Walaubagaimanapun, memang ada bayi yang sering meluahkan
sendiri makanan selepas makan dan keadaan ini dianggap biasa. Jika mereka
sihat, tidak mengalami penurunan berat badan disebabkan tabiat mereka ini,
kenaikan badan seperti yang diingini, tumbesaran badan seperti yang diingini,
tidak kelihatan tidak selesa dan tiada masalah pernafasan, maka anda tidak
perlu risau.
No comments:
Post a Comment