Monday, October 7, 2013

Bolehkah saya meneruskan diet pemakanan saya seperti sebelum mengandung?

Jawapan kepada soalan ini ialah ya dan tidak.
Jika diet yang anda maksudkan ialah diet pemakanan seimbang maka ia tidak menjadi masalah.
Tetapi jika anda maksudkan diet untuk anda mengawal berat badan maka jawapannya ialah tidak.

Ketika mengandung keperluan anda sudah tentu berbeza berbanding ketika sebelumnya. Anda dan bayi di dalam kandungan anda memerlukan nutrient yang cukup sepanjang tempoh kandungan. Jika anda berlapar, bayi anda juga akan berlapar.

Sekiranya anda takut anda tidak dapat kembali kepada berat badan sebelum mengandung, sebenarnya ini adalah masa terbaik mengubah caara pemakanan anda kepada pemakanan yang lebih sihat.

Thursday, October 3, 2013

Merawat luka bayi

Walaubagaimana berhati-hati pun ibu dan bapa kadangkala berlaku juga kejadian yang kita ingin elakkan. Kadangkala dalam usaha si kecil untuk belajar merangkak, berdiri dan berjalan adakalanya tersilap dan terjatuh.

Bagaimana cara untuk merawat luka kecilnya sendiri di rumah?
1- Cuci tangan anda terlebih dahulu.
2- Periksa luka anak anda. Buangkan serpihan pasir atau benda asing yang melekat pada luka.
3- Tekan luka anak anda untuk menghentikan pendarahan. Sekiranya luka masih tidak berhenti dalam 10 minit, segera bawa anak anda ke klinik.
4- Gunakan air suam untuk mencuci luka.
5-Sapukan krim antibiotik atau antiseptik kepada luka. Jangan tiup luka tersebut untuk mengelakkan anda menyebabkan jangkitan bakteria.
6-Jika bayi anda tidak kemana-mana tidak perlu tutup luka kerana luka yang dibiarkan terdedah dengan udara akan labih cepat kering. Tetapi perlu pastikan luka tidak kotor dan sentiasa dalam keadaan bersih.
   Jika anda terpaksa membalut luka tersebut, pastikan bandage ditukar setiap hari.
7- Jika bayi anda masih berasa sakit, anda boleh memberikan paracetamol kepada bayi anda untuk mengurangkan rasa sakit. Sila rujuk pada profesional kesihatan anda untuk dosage diperlukan bayi anda.

Tips :
Iodine sangat bagus untuk menyembuhkan luka dengan cepat tetapi ia pedih dan kebanyakan kanak-kanak (apatah lagi bayi) tidak sukakannya.
Sebagai alternatif, ibu bapa boleh menggunakan minyak kuning untuk menggantikan iodine. Ia tidak memedihkan.

Tuesday, October 1, 2013

Cradle cap atau "kelemumur" pada bayi

Cradle cap atau secara saintifiknya ia dipanggil sebagai infantile seborrhoic dermatitis. Ia kelihatan seperti sisik yang keras dan kekuningan di bahagian kulit kepala bayi. Ia akan hilang sendiri dalam beberapa bulan dan tidaklah merbahaya.

Ia juga tidak gatal. Jika anak anda ada mengalami gatal-gatal kemungkinan ianya adalah infantile eczema, sejenis masalah kulit. Bagi infantile eczema anda perlu mendapatkan nasihat profesional kesihatan anda.

Langkah -langkah yang boleh anda ambil
a) Basuh rambut anak anda setiap hari dengan syampu yang tidak terlalu kuat.
b) Secara lembut, gunakan tuala dan jari anda untuk membuangkan kuping-kuping yang ada
     Jika ianya agak sukar, ambil minyak untuk bayi dan sapukan di atas kulit kepala. Tetapi perlu ingat ya, selepas itu anda perlu syampu kulit kepala anak anda. Minyak berlebihan pada kulit kepala boleh menerukkan lagi keadaan.



Sunday, September 29, 2013

Ouch..stretch mark lah

Stretch mark agak mengganggu, bukankah begitu?
Jangan hilang keyakinan diri. Ini adalah tanda anda wanita istimewa yang diberi peluang oleh Tuhan untuk mengalami nikmatnya hamil dan melahirkan zuriat anda.

Namun ada cara untuk mengelakkannya dan mengurangkannya.

Stretch mark itu berlaku disebabkan kulit anda meregang dan juga perubahan hormon di dalam badan wanita hamil. Ia juga bergantung kepada keadaan kulit anda dan perubahan berat badan anda. Warnanya daripada merah jambu sehingga warna coklat gelap.
Ia biasanya muncul di bahagian abdomen, paha, buah dada dan punggung. Dikatakan juga sekiranya ibu dan adik beradik anda mempunyai stretch mark, ada kemungkinan anda akan mengalaminya.

Jadi nasihat saya sebaiknya ialah anda cuba elakkan daripada berlakunya stretch mark kerana melalui pengetahuan dan pengalaman mereka yang hamil, kebiasaannya sekiranya stretch mark telah ada sukar untuk menghilangkannya. Hanya warnanya sahaja yang dapat dipudarkan.

Selalunya saya akan sarankan para ibu yang kali pertama mengandung untuk memulakan pencegahan sebelum strech mark muncul. Terdapat banyak krim dan lotion stretch mark di pasaran. Jangan malas kerana menyesal kemudian tidak berguna ya!!
Rajin! Rajin! Rajin!
Itu kata kuncinya.
Anda perlu sapukannya 3 ~ 4 kali sehari. Ini bertujuan memberikan kelembapan pada kulit anda ketika ia meregang. Bayangkan sesuatu yang lembap diregang berbanding dengan sesuatu yang kering, tentunya yang kering akan berbekas. Bukankah begitu?
Rajin! Rajin! Rajin!
Produk yang mengandungi cocoa butter selalunya baik untuk mengelakkan stretch mark. Bio Oil juga bagus.

Ramai para ibu yang lambat mengambil tindakan dan sebaik melihat selepas beberapa bulan bersalin stretch mark masih tidak hilang, barulah mereka menyesal dan mula mencari cara menghilangkannya. Jika begini, anda juga perlu Rajin! Rajin! Rajin!
Sapu 3~ 4 kali sehari dan sapukan agak lama sedikit supaya ia betul-betul menyerap masuk ke dalam kulit.


Thursday, September 26, 2013

Packing untuk bersiap sedia bersalin

Bagi ibu-ibu berpengalaman ianya tidak menjadi masalah tetapi bagi yang pertama kali dan berjauhan pula dengan keluarga pastinya pengalaman pertama ini agak menakutkan.

Jangan risau.

Biasanya para ibu sudah mula menyiapkan barang asas untuk di bawa ke hospital apabila usia kandungan sudah memasuki bulan ke tujuh. Ini adalah langkah selamat kerana ada sesetengah orang melahirkan anak pada usia kandungan tujuh bulan. Bersedia awal tidak mengapa.

Apakah barang-barang yang mesti ada di dalam beg?

1-Dokumen penting anda seperti IC dan sebagainya. Jangan bawa dompet, mungkin cukuplah bawa beg kecil dengan duit sedikit sekiranya diperlukan.

2- Handphone.

3- Selimut untuk bayi anda

4- Dua pasang baju bayi anda

5- Stokin bayi anda

6- Sarung tangan bayi anda

7- Kain batik dan persalinan untuk anda

8-Tuala untuk anda

9-Lampin atau pampers bagi bayi baru lahir

10-Maternity pad untuk anda

Wednesday, September 25, 2013

Warna najis dan maksud disebaliknya

1. Warna najis bayi hijau gelap dan melekat seperti tar yang masak
Meconium ialah nama saintifik bagi najis pertama bayi anda. Ia bewarna hijau gelap dan melekit seperti tar jalan yang masih panas. Ia sepatutnya keluar dalam masa beberapa hari selepas bayi dilahirkan. Bayi tidak dibenarkan keluar daripada wad selagi mereka belum buang air besar yang pertama ini.
Hanya dalam situasi tertentu bayi mengeluarkan najis pertama mereka sebelum dilahirkan. Ini adalah bahaya kerana ditakuti bayi tertelan meconium yang larut dalam cecair amniotik.

2. Warna najis bayi kuning terang dan sedikit melekit
Najis yang bewarna kuning terang dan sedikit melekit ialah warna najis normal bagi bayi yang disusukan ibu tanpa susu formula.
Biasanya ia tidak berbau kuat dan kadangkala apabila bayi membuang air besar ia beserta dengan bunyi angin yang kuat.

3. Warna najis bayi pudar kecoklatan
Ini kerana anda sudah mula memberi susu formula. Selagi ia tidak terlalu keras, cair atau berketul-ketul bayi anda tidak ada masalah.

4. Warna najis bayi coklat kehijauan
Biasanya apabila bayi anda mula makan makanan selain susu, warna najisnya akan bertukar seperti ini. Ianya normal kecuali jika bayi anda mula sembelit, cirit birit atau simptom lain yang membuatkan bayi anda tidak selesa muncul.

5. Warna najis bayi kecoklatan, berair, tidak berketul-ketul
Bayi anda mengalami cirit birit. Bayi anda buang air besar lebih kerap dan mungkin disertakan bunyi angin yang kuat. Perhatikan pengambilan cecair bayi anda. Pastikan air yang hilang dari badan sentiasa digantikan. Jangan beri sendiri ubat anti cirit birit pada bayi anda tanpa nasihat profesional kesihatan anda.
Lebih kecil usia bayi anda risiko hidrasi adalah lebih tinggi. Dan jika keadaan ini berterusan melebihi dua hari, jangan melengah-lengahkan lagi dari berjumpa dengan profesional kesihatan anda.

6. Warna najis bayi gelap, keras dan kelihatan seperti tanah liat
Bayi anda mengalami sembelit. Ini mungkin berlaku ketika anda mula memperkenalkan makanan keras kepada bayi anda atau bayi kekurangan air akibat cuaca panas atau bayi anda kurang minum air atau bayi anda mungkin sakit.
Jika ada darah yang merah segar, maksudnya kemungkinan ada luka sekitar anus kerana najis terlalu keras.
Anda boleh tambahkan pengambilan airnya, mungkin memberinya jus prune, dan lebihkan pengambilan serat dalam pemakanannya.

7. Warna najis bayi hijau gelap tetapi tidak melekit
Kemungkinan susu formula bayi anda mengandungi kandungan zat besi yang agak tinggi kerana zat besi boleh menyebabkan najis bewarna seperti ini. Keadaan ini tidak perlu dibimbangi kecuali jikabayi anda menunjukkan ketidakselesaan.

8. Warna najis bayi hijau terang
Ini normal bagi bayi yang menyusu sepenuhnya susu ibu. Tetapi ini menunjukkan bayi menyusu sekejap sahaja bagi setiap belah susu ibu. Bayi hanya mendapat bahagian susu awal yang tidak pekat. Ini agak merugikan kerana kalau bayi menyusu lebih lama bagi setiap belah susu ibu, bayi akan mendapat susu yang lebih pekat dan lebih kaya dengan vitamin.
Cuba habiskan setiap belah sebelum bertukar ke sebelah lagi jika boleh.

9. Warna najis bayi hitam pekat dan melekat
Bayi anda mengalami melena atau pendarahan di dalam usus. Ia mungkin kelihatan seperti meconium tetapi warnanya hitam pekat. Sila bawa bayi anda untuk berjumpa dengan profesional kesihatan anda untuk tindakan lanjut.

10. Warna najis bayi putih dan kelihatan seperti kapur
Bayi anda mungkin mempunyai masalah dengan penghasilan asid hempedu (bile) yang berfungsi mewarnakan najis. Sila bawa bayi and berjumpa dengan profesional kesihatan bagi tindakan selanjutnya.

Monday, September 23, 2013

Green Tea : Bolehkah wanita mengandung minum green tea?



Ramai wanita mengamalkan green tea kerana kesan baiknya termasuklah dikatakan baik untuk mengelakkan dari tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan ada sesetengah berpendapat ia boleh mengawal berat badan.

Namun adakah amalan ini boleh diteruskan ketika mengandung?

Perkara pertama ialah tentang kebaikannya. Belum ada kajian yang konklusif tentang kebaikan green tea. Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan kemungkinan kesan baik ini namun ia belum konklusif. 

Kedua, terdapat pendapat yang mengatakan green tea boleh mengurangkan paras asid folik di dalam badan. Asid folik adalah sangat penting terutama untuk wanita yang merancang untuk mengandung dan tiga bulan pertama bagi wanita mengandung. Asid folik diperlukan bagi tiga bulan pertama bagi mengelakkan spina bifida kepada bayi.

Ketiga, sepertimana teh dan kopi yang lain masih terdapat kandungan kafein di dalam green tea yang boleh mengurangkan penyerapan zat besi. Seperti yang kita sedia maklum sesetengah wanita akan mengalami tekanan darah rendah dan anemia ketika mengandung. Bagi wanita ini adalah dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan semua jenis kopi dan teh sepanjang waktu mengandung.
Ia juga merupakan kajian yang kecil dan kajian yang lebih besar dan lebih baik diperlukan untuk mengetahui kebenarannya.

Maka jika ibu masih ingin terus mengambil green tea sebagai minuman harian, dicadangkan untuk mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit. Dicadangkan ialah satu hingga dua cawan sehari adalah memadai. Sekurang-kurangnya green tea lebih baik daripada jenis kopi dan teh yang lain kerana kandungan kafeinnya yang rendah.
 

Bayi dan Ibu | Desenvolvido por EMPORIUM DIGITAL