Thursday, September 19, 2013

Bayi muntah



Bayi anda muntah mungkin sesuatu yang menyebabkan anda risau. Adakah ia membahayakan bayi anda? Adakah ianya memerlukan anda memulakan sebarang ubat untuk mengatasinya? Atau cukupkah dengan menyapu minyak atau bertukar cara pemakanan dan penyusuannya?


Apakah yang berlaku apabila makanan atau susu masuk ke dalam perut?

Susu atau makanan akan masuk ke dalam perut melalui esofagus. Di antara esofagus dan perut akan ada injap yang berfungsi menghalang makanan atau apa yang ditelan ke dalam perut daripada kembali memasuki ruang esofagus. Kemasukan kembali makanan atau susu ke dalam ruang esofagus dipanggil reflux.


Jadi mengapa bayi akan muntah?

Ada beberapa sebab mengapa injap gagal menghalang kemasukan kembali makanan/susu/objek yang ditelan ke dalam ruang esofagus.

Diantaranya ialah

a) Saiz perut bayi yang masih lagi kecil

b) Injap yang masih belum matang

Selain itu ada beberapa keadaan lain yang boleh menyumbang kepada situasi ini iaitu :

a) Bayi menangis terlalu lama

b) Bayi anda batuk-batuk

c) Alahan terhadap makanan. Sila catatkan pemakanan yang diambil anak anda dan bincangkan dengan doktor anda kemungkinan anak anda alah terhadap makanan. Jangan lakukan tanpa nasihat doktor memandangkan pada usia begini anak anda memerlukan vitamin dan mineral secukupnya untuk tumbesaran.


Apa yang boleh anda lakukan sendiri di rumah jika bayi anda muntah?

1) Hidrasi.

     Adalah sangat penting untuk anda pastikan tahap hidrasi bayi anda. Jika perlu gantikan air yang hilang selepas bayi anda muntah. Jika keadaannya agak membimbamgkan anda, anda boleh berikan garam rehidrasi (Oral rehydration salt) yang boleh didapati di farmasi. Saya cadangkan berikan mereka ORS dengan perisa original.

 Lihat pada tanda-tanda dehidrasi (kekurangan air ) pada bayi anda seperti

a) Mulut kering

b) Kekurangan air mata apabila bayi anda menangis

c) Kurang kencing daripada biasa (jika dibandingkan dengan pengambilan air). Bagi bayi kurang dari dua belas bulan, lampin tidak basah selepas tiga jam dan bagi kanak-kanak tidak kencing melebihi 8 jam.

d)  Letih dan kurang aktif daripada biasa. Bayi mungkin kelihatan cepat mengantuk dan tidur lebih dari biasa.

e) Sembelit

f) Kerap dahaga

Jika keadaan berlarutan atau simptom berlarutan atau bayi anda kelihatan sangat tidak selesa, sila dapatkan bantuan kesihatan di klinikberhampiran.

2) Pekatkan makanan bayi anda.

     Makanan yang cair lebih mudah keluar berbanding makanan yang pekat. Berikan bayi anda makanan yang lebih pekat sedikit.

3) Tegakkan bayi anda sekurang-kurangnya dalam 30 minit pertama selepas makan.

     Graviti boleh membantu menarik makanan bayi anda ke bawah dan mengelakkan regurgitasi.



Walaubagaimanapun, memang ada bayi yang sering meluahkan sendiri makanan selepas makan dan keadaan ini dianggap biasa. Jika mereka sihat, tidak mengalami penurunan berat badan disebabkan tabiat mereka ini, kenaikan badan seperti yang diingini, tumbesaran badan seperti yang diingini, tidak kelihatan tidak selesa dan tiada masalah pernafasan, maka anda tidak perlu risau.

Monday, June 3, 2013

Mama, saya nak tumbuh gigi

FAKTA PENTING : TUMBUH GIGI TIDAK MENYEBABKAN BAYI ANDA DEMAM. APA YANG BERLAKU IALAH SUHU BADAN BAYI ANDA NAIK LEBIH SEDIKIT DARI BIASA.

Gigi pertama tumbuh biasanya seawal usia 6 bulan dan gigi susu lengkap sekitar usia 3 tahun. Sebelum tumbuh gigi, bayi anda mungkin akan menangis, mudah meragam, sukar tidur dan tidak mahu makan.
Gusi mungkin akan merah dan terasa sakit.
Bayi akan mula mengunyah berterusan makanan yang di makan atau objek disekelilingnya. Anda boleh membelikan anak anda gelang teething yang diperbuat dari getah.
Pemberian teething gel juga boleh membantu seperti juga mengurut gusi bayi anda sama ada dengan menggunakan ais atau tidak.

Namun begitu elakkan penggunaan gel yang mengandungi Lidocaine.

Dan sekiranya semuanya tidak dapat membantu, anda noleh memberikan sirap paracetamol atau ibuprofen.

Sunday, June 2, 2013

Bagaimana cara mengambil suhu badan anak anda?

Tahukah anda selain mulut dan telinga, suhu badan juga boleh di ambil dari bawah ketiak dan rektum (tempat buang air besar).

Suhu Rektal :
Paling tepat dengan suhu sebenar dalaman kanak-kanak.
Kaedahnya :
Sapukan petroleum jelly pada termometer. Kemudian baringkan anak anda secara tertiarap. Masukkan 1/2 inci sehingga 1 inci termometer ke dalam rektum. Tunggu sehingga 2~3 minit.
Namun begitu kaedah ini kadangkala agak sukar kerana kanak-kanak sukar untuk duduk diam.

Suhu Telinga :
Ia diambil menggunakan alat digital. Alat ini akan mengukur radiasiinfra red yang dikeluarkan oleh telinga dalam.
Tetapi bagi bayi yang kurang dari 3 bulan kaedah ini tidak tepat.

Suhu Mulut ;
Termometer diletakkan di bawah lidah. Mulut perlu ditutup sepanjang proses pengukuran.
Kaedah ini boleh dipercayai tetapi seperti kaedah rektum, kanak-kanak sukar untuk duduk diam.

Suhu Bawah Ketiak :
Termometer diletakkan di bawah ketiak dari 4~5 minit. Kaedah ini agak mudah tetapi kurang tepat kerana suhu di bawah ketiak lebih rendah berbanding suhu telinga, mulut atau rektal.

Saturday, June 1, 2013

Post-Partum Depression (Tekanan Perasaan selepas bersalin)

Dalam zaman yang serba moden dan pantas ini wanita mengalami pelbagai tekanan dari pelbagai sudut . Maka adalah sangat penting bagi suami, keluarga dan rakan-rakan rapat memberi sokongan kepada bakal ibu daripada bakal ibu mula merancang untuk mendapatkan anak sehingga selepas proses bersalin.

FAKTA PENTING : 10~15% WANITA MENGALAMI POST PARTUM DEPRESSION

Apakah post-partum depression?
Post-partum depression merupakan perasaan kesedihan yang melampau yang dikaitkan dengan perubahan psikologi  selepas bersalin sehingga berbulan-bulan selepasnya.

FAKTA PENTING : "BABY BLUES" ADALAH PERASAAN BIASA YANG BERLAKU DALAM TIGA HARI SELEPAS BERSALIN. IA ADALAH PERASAAN SEDIH DAN TIDAK TENTU ARAH YANG KEBIASAANNYA AKAN HILANG DALAM DUA MINGGU SELEPAS PROSES KELAHIRAN.

Punca-punca berlakunya keadaan ini?
a) Depression yang muncul sebelum atau ketika mengandung
b) Sejarah keluarga dengan depression
c) Pengurangan hormon seperti estrogen yang berlaku secara mendadak
d) Tekanan yang berlaku akibat perubahan cara hidup contohnya rasa kehilangan kebebasan, perasaan terpinggir, terpaksa melalui kesukaran dan komplikasi ketika bersalin, kurang tidur, terlalu banyak tugas dan sebagainya
e) Kurang sokongan dari mereka yang rapat
f) Masalah rumahtangga
g) Masalah lain seperti masalah kewangan

Apakah tanda-tanda post-partum depression?
a) Kerap menangis
b) Perubahan emosi yang mendadak
c) Cepat marah
d) Keletihan yang keterlaluan
e) Kebimbangan
f) Hilang selera makan
g) Hilang minat kepada perkara yang dilakukan
h) Masalah menumpukan perhatian
i) Mungkin kurang minat menguruskan anak

Apa yang boleh dilakukan?
Sokongan suami dan keluarga amatlah penting.
Perjumpaan dengan profesional kesihatan juga adalah perlu untuk mengenalpasti sejauh mana keadaannya.

Jadi bagaimana untuk mengelakkan berlakunya depression?
1- Rehat yang cukup.
    Apabila bayi anda tidur. Anda juga perlu mengambil peluang itu untuk tidur. Badan anda perlukan rehat.
2- Jangan cuba buat semuanya sendirian.
    Keadaan ini adalah satu proses adaptasi dengan jadual dan suasana yang baru. Cuba perlahan-lahan beradaptasi dengan keadaan ini. Jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Berbincang dengan suami untuk membantu dalam proses perubahan mungkin dapat mengurangkan beban dan mengelakkan berlakunya depression.
3- Berbual dan berbincang tentang perasaan anda bersama suami, keluarga atau rakan rapat. Ini dapat meringankan beban perasaan anda. Anda juga dapat mengelakkan perasaan terpinggir.
4- Mengikuti forum di internet atau berkongsi dengan ibu-ibu lain untuk berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pendapat.
5- Cuba luangkan masa bersama suami. Minta tolong kepada keluarga untuk menjaga anak anda untuk beberapa jam supaya anda dan suami dapat menghabiskan masa berdua.
6- Keluar dari rumah. Jangan duduk terperap dari rumah. Keluarlah untuk berbual dengan jiran atau sekadar berjalan di taman berdekatan.

Friday, May 31, 2013

Sudden Death Infant Syndrome (SIDS)

SIDS atau Sudden Death Infant Syndrome ialah kematian tiba-tiba dan tidak dijangka yang berlaku kepada bayi yang sihat ketika tidur.
Post mortem yang dilakukan biasanya gagal menemui sebab dan punca kematian. Hanya sebilangan kecil kes yang menunjukkan kurang paras oksigen di dalam darah bayi yang mati akibat SIDS.
Anda tidak perlu bimbang kerana keadaan ini kurang berlaku. Menurut statistik di Amerika, kejadian SIDS berlaku satu pada setiap 2000 bayi. Namun ada langkah-langkah yang boleh anda ambil bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Langkah-langkah mengurangkan risiko terjadinya SIDS :
a) Pastikan jika bayi anda tidur ia dalam keadaan terlentang . Jangan biarkan bayi anda tidur meniarap. Ini bagi mengelakkan halangan kepada sistem pernafasannya.
b) Apabila bayi anda tidur, simpan atau alihkan objek seperti alat mainan, selimut atau barangan lain yang mungkin boleh mengganggu pernafasan bayi anda
c) Jangan merokok berhampiran bayi
d) Pastikan tenpat tidur bayi tidak terlalu panas
e) Boleh biarkan bayi anda tidur dengan puting
f) Jika boleh,biarkan bayi anda tidur hampir dengan anda


Fakta tentang SIDS :
* Punca kematian paling kerap terjadi kepada bayi berusia sekitar 2 bulan hingga 12 bulan ialah SIDS
* Ia symptom yang berlaku di seluruh dunia
*Ia biasanya berlaku di kalangan mereka yang mempunyai adik beradik dengan sejarah SIDS, ibu bapa yang merokok atau mengambil dadah dan dari keluarga yang berpendapatan rendah.
*Tidur bersama bayi di sofa, kusyen atau katil bertilam lembut juga boleh membawa kepada berlakunya SIDS

Thursday, May 30, 2013

Milestone bayi anda : 1 sehingga 12 bulan

Milestone bayi anda di cartakan seperti di bawah :

Umur 1 Bulan
Milestone :
 a) Bawa tangan ke arah mata dan mulut
 b) Gerakkan kepala sama ada kiri atau ke kanan apabila dibaringkan meniarap
 c) Bergerak balas terhadap bunyi sama ada dengan cara terkejut, menangis atau tiba-tiba terdiam
 d) Menoleh ke arah suara atau bunyi yang biasa di dengar
 e) Fokus ke arah muka orang

Umur 3 Bulan
Milestone :
 a) Apabila dibaringkan meniarap sudah pandai mengangkat kepala 45 ~ 90 darjah
 b) Buka dan genggam tangan
 c) Menolak kaki ke arah bawah apabila kaki diletakkan di permukaan rata
 d) Cuba mencapai mainan yang tergantung
 e) Boleh memandang wajah
 f) Senyum apabila dengan suara ibu
 g) Mula buat bunyi-bunyi seperti bercakap

Umur 5 bulan
Milestone :
 a) Apabila berdiri, kepala sudah boleh tegak
 b) Sudah boleh menggerakkan badan dari keadaan meniarap kepada terlentang
 c) Mencapai objek
 d) Mengenali orang dari jarak jauh
 e) Dengar suara manusia dengan tekun
 f) Tersenyum secara spontan
 g) Menjerit kesukaan

Umur 7 bulan
Milestone :
 a) Duduk tanpa sokongan
 b) Apabila didirikan mula pandai arahkan berat badan ke kaki
 c) Pindahkan objek dari tangan ke tangan
 d) Melihat pada objek yang jatuh
 e) Memberi gerak balas pada panggilan nama sendiri
 f) Mula belajar bercakap dengan menggabungkan huruf dan konsonen bunyi
 g) Gembira apabila bermain
 h) Bermain cak ba (peek a boo)

Umur 9 bulan
Milestone :
a) Berusaha untuk dapatkan mainan yang tidak dapat dicapai
b) Membantah apabila mainan diambil
c) Merangkak
d) Cuba tolak diri sendiri untuk berdiri
e) Berdiri dengan bergantung pada orang atau sesuatu
f) Mula memanggil "Mama" dan "Papa"

Umur 12 bulan
Milestone :
 a) Mula pandai duduk
 b) Berjalan dengan memegang perabot atau sudah mula boleh berjalan satu atau dua langkah tanpa bantuan
 c) Berdiri tanpa bantuan dalam beberapa saat
 d) Minum dari cawan
 e) Tepuk tangan dan melambai




Wednesday, May 15, 2013

Ibu mengandung dan kencing kotor

Kencing kotor atau sebenarnya jangkitan pada air kencing sebenarnya sesuatu yang biasa berlaku kepada ibu-ibu yang mengandung.

Mengapa ia kerap dan mudah berlaku kepada ibu-ibu yang mengadung?
Kedudukan rahim yang terletak di bahagian atas pundi kencing menyebabkan apabila rahim semakin membesar, tekanan diberikan kepada saluran pundi kencing.
Kehadiran hormon progesterone yang tinggi juga mengurangkan tona otot saluran kencing menyebabkan saluran kencing yang sepatutnya mengecil menjadi sedikit besar. Lalu, aliran air kencing menjadi lambat.
Keadaan ini memungkinkan berlakunya sedikit halangan dalam pembuangan air kencing yang sepenuhnya. Maka, keadaan ini boleh membawa kepada jangkitan air kencing.


Bilakah biasanya berlaku?
Kebiasaannya risiko meningkat bermula dari minggu ke enam sehingga minggu ke 24.

Bagaimana mahu mengenalpasti tanda dan simptom ini?
Simptom dan tanda jangkitan boleh diketahui dengan memantau keadaan diri anda seperti berikut :
1. Rasa pedih setiap kali anda membuang air kecil
2. Lebih kerap rasa ingin kencing dari biasa
3.Air kencing berbau dan bewarna keruh
4.Sakit pada bahagian bawah perut
5.Jumlah air kencing sangat banyak atau sangat sedikit dari kebiasaan.
6.Darah di dalam air kencing
7. Rasa hendak terkencing yang datang tiba-tiba
8. Kejang pada bahagian bawah perut

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya mengalami simptom seperti dinyatakan di atas?
Sila dapatkan rawatan segera dari pakar sakit puan anda.

Bagaimana jangkitan ini boleh memberi kesan pada bayi?
Bayi mungkin lahir dengan berat yang rendah dan jika dibiarkan anda boleh mendapat jangkitan buah pinggang.

Jadi bagaimana untuk mengelakkan keadaan ini dari berlaku?
Terdapat cara-cara untuk mengelakkan dari mudahnya terkena jangkitan pada air kencing.
1. Pastikan anda minum air dengan banyak setiap hari.
2. Amalkan meminum jus cranberry. Anda boleh dapati ia di farmasi terkemuka di tempat anda. Namun sekiranya anda penghidap kencing manis, anda tidak boleh mengambil jus ini.
3. Gunakan seluar dalam daripada kain kapas yang menyerap peluh.
4. Jangan terlalu kerap menggunakan pencuci wanita terutama yang terlalu kuat. Dapatkan nasihat profesional kesihatan anda tentang pencuci wanita yang sesuai untuk wanita memgandung.
5. Jangan berendam melebihi 30 minit di dalam tab mandi atau kolam renang.
6. Jangan tahan kencing anda, Sekiranya anda perlu ke tandas, anda harus menyegerakannya. Jangan bertangguh.
7. Amalkan pengambilan vitamin C ketika mengandung bagi meningkatkan sistem pertahanan badan anda.


 

Bayi dan Ibu | Desenvolvido por EMPORIUM DIGITAL