Wednesday, August 18, 2010

Jumpa lagi setelah lama menyepi

Salam kepada pembaca,
Lama tanpa update terbaru. Setelah lebih setahun saya terfikir untuk mengaktifkan kembali blog ini dan berkongsi pelbagai maklumat bersama anda di luar sana. Jika anda juga ada sesuatu untuk dikongsi, jangan segan dan malu.
Sahabat saya baru sahaja bersalin anak ketiga tiga bulan lepas. Mungkin ada diantara anda yang menghadapi masalah seperti sahabat saya ini. Perkara seperti ini agak sensitif untuk wanita kerana melibatka penampilan diri. Akhirnya setelah cuba beberapa kali mencari puncanya, rupanya sahabat saya ini tidak pernah berpantang, beurut dan menjaga pemakanan setiap kali selepas bersalin.
Hanya selepas anak ketiga dia mula risau dengan saiz perutnya yang besar.
Jika anda ingin tahu lebih lanjut,jangan lupa ikuti blog ini selalu.
Jumpa lagi!!




Tuesday, April 14, 2009

Evening Primrose Oil dan Wanita Mengandung

Evening Primrose Oil dan kandungan anda.Persoalannya sekarang ialah selamatkah untuk anda mengambil Evening Primrose Oil (EPO) ketika mengandung?EPO sebenarnya ialah ekstrak yang sudah digunakan berabad-abad lamanya bagi mengurangkan hot flushes (rasa panas pada bahagian muka bagi wanita menopause), ekzema,sakit sendi, PMS (sindrom sebelum datang haid) dan kesakitan pada buah dada (terutama sebelum datang haid). Dan ada juga pendapat mengatakan bahawa ia boleh meningkatkan kesuburan wanita.

Namun sejauh mana keselamatannya bagi ibu yang mengandung?

Bagi saya, sepertimana konsep yang kita gunakan pada ubat-ubatan sebegitu juga saya rasa patut digunakan pada EPO. Sekiranya sesuatu ubat itu diragui keselamatannya, maka langkah yang perlu diambil ialah dengan menimbangkan nisbah risiko dan kebaikannya. Jika nisbah risiko lebih tinggi sebaiknya ubat-ubatan tersebut dielakkan dan begitu juga sebaliknya.

Dipercayai juga walaupun EPO mungkin mempunyai fungsi untuk membantu meningkatkan kesuburan seseorang wanita, biasanya wanita dinasihatkan menghentikan pengambilannya selepas waktu ovulasi dan menyambungnya dengan Flaxseed Oil sehinggalah waktu sebelum datang haid.Ini bagi mengelakkan keguguran sekiranya mereka mengandung.EPO mempunyai kebolehan menyebabkan kontraksi pada bahagian rahim yang boleh menyebabkan keguguran.
Untuk lebih jelas,cadangannya ialah seperti berikut:
Hari pertama datang haid sehingga hari ke 8:EPO
Hari ke 10 hingga hari ke 18:Flaxseed
(Ini adalah waktu kesuburan di mana telur dikeluarkan dan bersedia untuk disenyawa)
Hari selebihnya sehingga datang haid:EPO

PERINGATAN PENTING!!!!!!
1-Walaubagaimanapun sekiranya anda mengesyaki diri anda mengandung,pengambilan EPO perlu dihentikan serta merta.
2-Disebabkan kitar haid setiap wanita berbeza adalah sebaiknya berbincang dengan doktor atau ahli farmasi anda untuk cadangan yang lebih bersesuaian dengan anda. Ingat!!Setiap wanita adalah berbeza dan amat penting untuk anda memahami keadaan ini bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.




Monday, April 13, 2009

Setelah lama berehat.

Maaf dipohonkan.Lama tidak berkesempatan menulis entry baru. Menyepi lebih kurang 4 bulan. Sebenarnya berpindah rumah dan bertukar kerja jadi masa memang tidak banyak dapat diluangkan untuk menulis. Ditambah dengan kesibukan kerja baru pula.

Sekarang nampaknya semuanya sudah stabil jadi dapatlah saya menyambung semula blog yang tergendala ini.

Saturday, December 6, 2008

Calcium dan anda

Calcium merupakan mineral yang sangat penting bagi kita. Kekurangan calcium boleh membawa kepada keadaan yang dipanggil osteopenia seterusnya menjadi penyebab kepada osteoporosis.

Keperluan bagi wanita dewasa biasanya ialah 1000mg/day tetapi meningkat sehingga 1500mg/day ketika mengandung dan menyusu. Ini terutamanya ibu muda kerana ketika ini mereka masih lagi dalam proses pembinaan tulang. Ibu dan bayi di dalam kandungan 'bertanding' mendapatkan calcium.

Mengapa calcium begitu penting?

Perkara yang perlu diberi perhatian ialah bukan hanya bayi tetapi juga ibu. Tulang ialah benda yang hidup kerana ia tidak statik. Di dalam tulang setiap masa berlakunya proses pembentukan tulang dimana dua proses utama berlaku. Tulang akan mengalami pembentukan semula selepas proses resorsi (proses yang berlaku dimana mineral dalam tulang keluar) berlaku.
Calcium penting bagi pergerakan otot, kontraksi jantung dan salur darah, pembinaan tulang dan gigi yang kuat serta memainkan peranan penting dalam sistem saraf, hormon dan enzim tubuh.
Bayangkan sekiranya pengambilan calcium tidak mencukupi, badan akan mengambil calcium daripada simpanan iaitu tulang. Lama kelamaan tulang menjadi lebih poros dan tidak kuat.

Begitu juga dengan ibu yang mengandung dan menyusukan bayi. Sekiranya calcium yang perlu diberikan kepada bayi tidak mencukupi, badan terpaksa mengambil calcium daripada simpanan. Biasanya 3 bulan terakhir adalah yang paling penting sekali.

Ada kajian yang menunjukkan ibu yang menyusu boleh hilang 3~5 % jisim tulangnya.

Apakah makanan yang mengandungi calcium yang tinggi?
+Susu, keju, ice cream dan yogurt (pilihlah yang rendah lemak bagi memudahkan anda menurunkan berat badan selepas bersalin)
+Sayur-sayuran hijau (broccoli etc)
+Tofu, Almond
+Makanan dikayakan dengan calcium

Adakah pengambilan susu atau pil lebih sesuai?
Sebenarnya badan kita mempunyai mekanisme yang tersendiri dalam mengekalkan paras kalsium yang ideal. Wanita hamil mempunyai penyerapan kalsium yang lebih terutama dalam trimester terakhir. Paras estrogen yang tinggi dalam wanita hamil juga membantu "mengunci" calcium.
Walaubagaimanapun dengan gaya hidup sekarang dan faktor-faktor lain menyebabkan kadangkala paras kalsium yang diambil tidak mencukupi. Dalam keadaan ini pengambilan susu atau calcium dalam bentuk pil adalah digalakkan.
Namun sesetengah orang seperti mereka yang mempunyai masalah lactose intolerance mungkin sukar mengambil calcium dalam bentuk susu. Selain itu di dalam susu terdapat protein kasein yang boleh membentuk kompleks dengan calcium dan mengurangkan jumlah calcium yang diserap.

Bagaimana memilih pil calcium di pasaran?
Lambakan pil calcium di pasaran mungkin membuatkan anda sukar untuk memilih. Di antara faktor yang boleh dipertimbangkan ialah :
1-Ketulenan.Pilih calcium dengan jenama yang terkenal atau sudah established. Jika anda tidak pasti, lihat label sama ada di tulis "purified" (bermaksud telah di proses supaya tiada bahan asing dan logam berat) atau *(United States Pharmaciopeia). Elakkan dari sumber yang tidak ditulenkan (unrefined).
2-Penyerapan.Kebanyakan kalsium dari jenama terkenal mempunyai penyerapan yang baik. Sekiranya anda ragu-ragu atau kalsium yang anda pilih adalah murah anda boleh lakukan ujian di rumah. Masukkan sebiji Calcium yang anda beli ke dalam air kosong dan kacau. Jika ia tidak larut dalam 30 minit bermakna ia langsung tidak larut dalam perut anda. Calcium perlu larut sebelum penyerapan ke dalam badan berlaku.
Calcium diserap ke dalam badan lebih baik sekiranya dos dibahagikan. Contohnya bagi dos 1000mg sehari anda ambil sebagai 500mg atau kurang setiap kali. Bagi 500mg tablet sebiji anda ambil sebiji pagi dan sebiji malam. Calcium lactate dan calcium carbonate diambil terbaik adalah selepas makan dan calcium citrate boleh diambil dengan perut kosong atau selepas makan.
Penyerapan Calcium Carbonate dan Citrate lebih baik bebanding dalam bentuk Calcium Lactate.
3-Interaksi.Anda boleh bertanya dengan ahli farmasi anda berkaitan interaksi Calcium dan ubat/makanan/supplement. Calcium boleh berinteraksi dengan zinc dan iron (zat besi)



*USP sebenarnya ialah anatara standard yang biasa diikuti oleh syarikat atau pengamal bidang perubatan




Scabies dan bayi anda

Scabies merupakan salah satu masalah yang selalu berlaku. Ia boleh berjangkit melalui sentuhan terutama di dalam keluarga atau mungkin di tempat jagaan anda anda - di tadika, taska atau nursery.

Apakah scabies sebenarnya?
Ia merupakan sejenis hama bersifat parasit(Sarcopes Scabei) yang 'menumpang' di bawah lapisan kulit kita. Bintat yang anda lihat sebenarnya ialah sama ada telur atau najis yang ditinggalkan oleh parasit tersebut. Kebiasaannya ia memang gatal dan senang berjangkit. Untuk pengetahuan anda, saiz parasit ini anggaran dalam 0.4mm sahaja!!

Bagaimana untuk mengenalpasti tanda-tandanya?
1-Ruam yang berbitat merah dan sangat gatal. Selalunya di celah-celah jari tangan dan kaki,di sekeliling pergelangan tangan,ketiak dan ada juga di bahagian sulit. Kadangkala di tapak tangan, tapak kaki, kulit kepala dan muka (biasanya kanak-kanak yang lebih kecil).
2-Bintat yang terbentuk mungkin bernanah atau berair.
3-Adakalanya ia menjadi lebih gatal selepas mandi dengan air suam atau pada waktu malam.

Apakah yang perlu dilakukan?
Sebaiknya anda segera membawa anak anda berjumpa profesional perubatan anda. Anda akan diberi lotion atau krim bagi digunakan untuk membantu mengatasi masalah anda. Sila patuhi arahan penyapuan kerana kebiasaannya scabies lambat diatasi sekiranya anda gagal mematuhi arahan dan sekiranya anda tidak mengikuti langkah penjagaan yang dicadangkan.

Mengapa ianya penting untuk diatasi?
Dengan menggaru , ia boleh membawa kepada secondary infection -jangkitan yang disebabkan kesan menggaru.

Berapa lama perlu tunggu sebelum ianya sembuh?
Ia mungkin akan hilang dalam masa beberapa hari bergantung dengan komplians anda. Walaubagaimanapun rasa gatal akan hilang lebih lambat antara seminggu hingga tiga minggu.




Friday, December 5, 2008

Picky Eater - Memilih makanan

Picky eater atau memilih makanan ini memang salah satu perkara yang biasa berlaku di kalangan kanak-kanak yang membesar. Walaubagaimanapun jangan pandang ianya sebagai satu perkara yang remeh temeh dan masalah yang ringan. Pada masa ini adalah waktu perkembangan mereka yang paling penting terutama bagi perkembangan mata,otak dan tulang.

Bagaimana kaedah yang boleh membantu?
1-Bertenang. Apabila anda marah,memukul dan mengugut merekaini akan merumitkan keadaan. Mereka akan menjadi lebih degil untuk menurut permintaan anda.
2-Masa untuk snack. Pastikan masa snack dan waktu makanan utama dijarakkan. Melalui pemerhatian yang saya buat,kebanyakan ibu bapa terutama melayu memang gemar memberi snack dan gula-gula kepada anak tanpa mengikut waktu dan kadangkala berlebihan. Akibatnya apabila sampai waktu makan, anak-anak ini sudah kenyang dengan snacks yang diberi.
3-Warna vs rasa. Kebanyakan makanan yang sihat memang tidak sedap. Jadi apabila memberi makan anak anda gunakan warna dan bukan rasa. Contohnya biasakan dengan "Tengok cantik kan tomato dan lobak ni?" dan bukan "Makan nasi ni..mm.. sedap kan". Anda mungkin pernah dengar bahawa lebih banyak warna pada hidangan anda adalah lebih baik. Makanan dengan antioxidant tinggi mempunyai pelbagai warna yang menarik.
4-Kenyang.Jangan paksa mereka habiskan makanan. Biarkan mereka berhenti apabila kenyang. Paksaan akan hanya membuat mereka lebih sukar untuk makan pada waktu lain.
5-Kurangkan gangguan. Biasakan anak anda bahawa waktu makan memang adalah waktu makan. Tutup TV ketika makan. Jangan benarkan buku atau mainan semasa makan.
6-Makanan baru. Ketika memperkenalkan makanan baru kepada anak anda kesabaran amat penting. Mereka akan bermula dengan menyentuh, menghidu dan menagmbil sedikit ke dalam mulut. Biasanya mereka akan mengeluarkan semula. Jika cubaan pertama gagal, cuba beberapa kali pada waktu lain pula. Ia akan mengambil masa.
7-Selera makan berkurang. Pertumbuhan paling cepat ialah sejak lahir sehingga umur 2 tahun. Selepas umur 3 tahun, kadar pertumbuhan akan sedikit berkurang jadi ada kemungkinan selera makan anak anda akan berkurang sedikit. Jangan terlalu mengharap dia akan makan dengan banyak. Cuma pastikan makanan yang diambil mencukupi dan berkhasiat.
8-Bergembira dengan makanan. Hidangkan makanan anak anda dengan bentuk yang menarik. Contohnya potongkan lobak dengan bentuk kereta atau aturkan sayur-sayuran ke atas bubur mereka dengan bentuk rumah atau kartun kegemaran. Pelbagaikan cara hidangan. Mungkin anda boleh menyediakan sos untuk dicicah dengan kentang atausayur-sayuran.
9-Ambil bahagian. Biarkan anak anda ambil bahagian dalam proses membeli sehingga menyediakan makanan. Mereka akan lebih seronok untuk makan.
10-Rutin. jadikan waktu makan makanan utama dan waktu makan snek pada waktu yang lebih kurang sama setiap hari.
11-Contoh kepada anak anda. Jadilah contoh yang baik kepada anak anda. Anda sendiri perlu makan makanan yang sihat.


Jangan tergesa-gesa dan harapkan perubahan yang cepat. Seperti bagaimana anda sabar menanti dia memanggil anda mama dan bagaimana anda bersabar melihat dia berjalan walaupun sebenarnya hati anda melonjak-lonjak , begitu juga dengan membantu mengubah tabiatnya yang memilih makanan.

Selamat berjaya!!




Thursday, October 30, 2008

Bayi dan ruam lampin

Bayi dan ruam lampin memang tidak dapat dipisahkan sebab itu begitu banyak lambakan produk di pasaran yang boleh anda pilih untuk mengelakkan atau mengatasinya. Biasanya ruam lampin kelihatan sedikit merah di bahagian yang menyentuh kulit anak anda. Sekiranya dibiarkan atau tidak dirawat dengan baik ia mungkin akan menjadi lebih teruk di mana anda boleh lihat kulit bayi akan kelihatan merah, berbiji air, melecet dan mungkin sedikit bengkak. Ia kemudiannya bukan terhad di bahagian lampin sebaliknya mungkin merebak ke kawasan luar sedikit dari lampin.

Ia disebabkan bayi anda mungkin memakai lampin yang terlalu ketat, dibiarkan dalam lampin yang kotor terlalu lama, jenis sabun yang anda gunakan untuk membasuh lampin (sekiranya anda tidak gunakan lampin pakai buang) ataupun disebabkan jenis lampin yang digunakan (material yang digunakan pada lampin pakai buang) atau tisu basah yang digunakan.

Bagaimana untuk merawatnya?
1-Elakkan dari puncanya.
2-Gunakan salap (ointment) atau krim bagi lampin yang boleh digunakan banyak kali dan sapulah pada bayi anda. Sediaan yang mengandungi petroleum jelly atau zinc oksida biasanya boleh memberikan perlindungan pada bayi anda selain tidak menyebabkan masalah pada kulit bayi anda.
3-Biasanya di antara waktu bertukar lampin anda mungkin boleh membiarkan seketika bayi anda tidak memakai lampin sebentar bagi menggalakkan pengudaraan.
4-Penggunaan powder juga tidak begitu digalakkan.
5-Selepas bayi mandi elakkan dari menggosok dengan kasar di bahagian lampin.
6-Sekiranya anda menggunakan kain lampin, selepas membasuh lampin anda boleh merendamnya di dalam air panas selama 15 minit. Ini bagi membunuh bakteria dan membuangkan kesan sabun yang mungkin penyebab kepada ruam.

Penggunaan ubat seperti hydrocortisone cream perlu mengikut arahan doktor. Ada beberapa produk di dalam pasaran yang bagus melalui pemerhatian saya yang bukan ubat.




 

Bayi dan Ibu | Desenvolvido por EMPORIUM DIGITAL